Dalam dunia perdagangan saham, nama William J. O’Neil adalah mercu inspirasi dan ilmu saham. Beliau terkenal dengan pendekatan inovatifnya dalam analisis saham, yang terkenal dengan singkatan CANSLIM, telah membimbing ramai pelabur ke arah keputusan yang menguntungkan.
Jadi, siapakah sebenarnya William J. O’Neil, dan mengapa kita patut percaya dengan kaedahnya?
Latar belakang Willian J O’Neil
William J. O’Neil, dilahirkan pada tahun 1933, adalah seorang usahawan, broker saham, dan penulis Amerika. Beliau terkenal sebagai pengasas Investor’s Business Daily (IBD) dan kerjanya dalam analisis teknikal pasaran saham.
Sumbangan utama O’Neil dalam bidang perdagangan saham adalah pembangunan strategi CANSLIM, iaitu sebuah metodologi yang direka untuk mengenal pasti saham-saham yang berprestasi tinggi.
Singkatan CANSLIM mewakili:
- Pendapatan Semasa (Current Earnings)
- Pendapatan Tahunan (Annual Earnings)
- Produk atau Perkhidmatan Baru (New Products)
- Permintaan dan Penawaran (Supply and Demand)
- Pemimpin atau Pelambat (Leadership)
- Penajaan Institusi (Instituitional Sponsor)
- Arah Pasaran (Market Direction)
Bagaimana CANSLIM ini diperkenal dan menjadi popular?
O’Neil membangunkan dan mempopularkan strategi CANSLIM melalui bukunya yang bertajuk “How to Make Money in Stocks,” yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1988.
Dalam buku oren ini, beliau menjelaskan prinsip-prinsip CANSLIM, yang kemudiannya menjadi terkenal. CANSLIM telah diterima oleh ramai pelabur dan peniaga sebagai rangka kerja yang berharga untuk analisis saham dan membuat keputusan.
Dan Zanger, seorang pedagang saham terkenal menyarankan untuk membaca buku sebanyak lebih 50 kali to plant the crux of CANSLIM cores and applications in our mind.
Boleh percaya ke kaedah C.A.N.S.L.I.M ini?
Kebolehpercayaan kepada metodologi O’Neil bermula dari kejayaan daripada dirinya. Yang bukan sahaja pada sumbangan teoritikalnya semata-mata. Tetapi juga dalam pencapaiannya dalam dunia sebenar.
$5,000 jadi $200,000!
Salah satu pencapaiannya yang utama adalah semasa krisis pasaran tahun 1962, di mana beliau berjaya menukarkan pelaburan $5,000 menjadi lebih daripada $200,000 dalam masa kurang dari dua tahun!
Hal ini terbukti CANSLIM mampu mengendalikan pasaran yang bergolak dengan berkesan!
Para Pelajar William J O’Neil yang berjaya.
Pengaruh O’Neil terus meluas; dengan telah menjadi mentor dan inspirasi kepada generasi baru pedagang. Ramai daripada pelajar-pelajarnya telah berjaya mencapai kejayaan yang luar biasa dalam saham.
Walaupun sukar untuk menyenaraikan, nama-nama seperti David Ryan, Scott O’Neil, dan David Chung telah muncul sebagai individu yang berjaya hasil didikan William J. O’Neil.
Ini Shopify dan Kita Bedah C.A.N.S.L.I.M. Shopify.
1. Current Earnings (Pendapatan Semasa)
O’Neil percaya bahawa syarikat dengan pertumbuhan pendapatan yang tinggi dalam beberapa suku yang terkini menunjukkan prestasi yang kuat.
Untuk Shopify, jika pendapatan mereka meningkat secara signifikan dalam suku terkini berbanding dengan suku yang sama tahun lalu, ia akan menjadi faktor positif dalam kaedah CANSLIM.
Untuk mengira kadar pertumbuhan pendapatan terkini, anda boleh menggunakan formula berikut:
Kadar Pertumbuhan Pendapatan Terkini=
{[Pendapatan Per Saham (EPS) pada Suku Terkini−EPS pada Suku yang Sama Tahun Lalu]/[EPS pada Suku yang Sama Tahun Lalu]} × 100
Katakanlah EPS Shopify pada suku terkini adalah $1.20, dan EPS pada suku yang sama tahun lalu adalah $0.80.
Dengan menggunakan formula di atas:
Kadar Pertumbuhan Pendapatan Terkini={[1.20−0.80]/[0.80]}×100= 50%
Dalam contoh ini, kadar pertumbuhan pendapatan terkini Shopify adalah 50%. Ini bermakna pendapatan Shopify pada suku terkini meningkat sebanyak 50% berbanding suku yang sama tahun lalu.
Jika kadar pertumbuhan pendapatan terkini yang lebih tinggi menunjukkan prestasi kewangan yang lebih baik, C dianggap positif CANSLIM.
2. Annual Earnings (Pendapatan Tahunan)
Jom kira annual earnings pula.
“Annual Earnings” (A) merujuk kepada kadar pertumbuhan pendapatan tahunan syarikat. Ia mengambil kira pertumbuhan pendapatan syarikat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dan berterusan.
Untuk mengira kadar pertumbuhan pendapatan tahunan, anda boleh menggunakan formula berikut:
Kadar Pertumbuhan Pendapatan Tahunan= {(Pendapatan Per Saham (EPS) pada Tahun Terkini−EPS pada Tahun Sebelumnya) / (EPS pada Tahun Sebelumnya)} × 100
Katakanlah pendapatan per saham (EPS) Shopify pada tahun terkini adalah $4.00, dan EPS pada tahun sebelumnya adalah $2.50.
Dengan menggunakan formula:
Kadar Pertumbuhan Pendapatan Tahunan={(4.00−2.50)/(2.50)} × 100= 60%
Dalam contoh ini, kadar pertumbuhan pendapatan tahunan Shopify adalah 60%.
Ini bermakna pendapatan Shopify dalam tahun terkini meningkat sebanyak 60% berbanding tahun sebelumnya.
Kadar pertumbuhan pendapatan tahunan yang lebih tinggi menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh dan konsisten, A dianggap positif CANSLIM.
3. New Product or Service (Produk atau Perkhidmatan Baru)
Dalam kaedah CANSLIM, “Produk atau Perkhidmatan Baru” (N) merujuk kepada pengenalan produk atau perkhidmatan inovatif oleh syarikat yang boleh mendorong pertumbuhan masa depan dan meningkatkan permintaan pasaran terhadap produk atau perkhidmatan syarikat tersebut.
Walaupun tidak ada formula khusus untuk mengira impak produk atau perkhidmatan baru dalam kaedah CANSLIM, pelabur biasanya mencari pengumuman dan berita tentang produk atau perkhidmatan baru dari syarikat. Mereka menilai permintaan pasaran yang berpotensi, keunikan produk, dan sejauh mana ia sejajar dengan trend pasaran semasa.
Shopify memperkenalkan perkhidmatan yang direka khas untuk menarik pelanggan runcit besar. Dalam bulan Januari 2023, Shopify telah melancarkan produk langganan baru.
Inovasi ini berpotensi meningkatkan pendapatan Shopify dan kehadiran pasarnya. Tugas trader/pelabur adalah menganalisa faktor-faktor seperti harga langganan, pasaran sasaran, ciri-ciri yang ditawarkan, dan bagaimana ia dibandingkan dengan pesaing.
Dengan ini, jika respon dari pasaran adalah memberangsangkan iaitu melonjaknya permintaan dan peningkatan pendapatan overall Shopify, N dianggap positif CANSLIM.
4. Supply and Demand (Penawaran dan Permintaan)
Dalam kaedah CANSLIM, “Supply and Demand” (S) merujuk kepada jumlah saham yang diperdagangkan dalam pasaran. Ia melihat hubungan antara bekalan saham yang boleh dijual dengan permintaan daripada pelabur yang ingin membeli saham tersebut.
Namun, sekali lagi tidak ada formula khusus yang berkaitan dengan bekalan dan permintaan dalam kaedah CANSLIM. Sebaliknya, pelabur biasanya melihat data volume perdagangan yang disediakan oleh bursa saham dan platform perdagangan.
Volume mendadak tinggi antara signal positif mempamerkan minat dan aktiviti yang meningkat dalam saham. Mereka memerhatikan volume perdagangan dari semasa ke semasa dan membandingkannya dengan data sejarah yang lalu.
Jika saham Shopify mengalami peningkatan yang ketara dalam volume perdagangan baru-baru ini, ia boleh menunjukkan peningkatan permintaan dari pelabur. Permintaan yang meningkat ini mungkin disebabkan oleh berita positif mengenai syarikat itu, seperti laporan pendapatan yang kuat, pelancaran produk baru, atau perkembangan yang menguntungkan lain.
Sebaliknya, jika volume perdagangan saham Shopify merosot dengan ketara, ia mungkin menunjukkan minat atau keyakinan pelabur yang berkurangan terhadap syarikat itu. Volume perdagangan yang rendah boleh disebabkan oleh berita negatif, prestasi kewangan yang lemah, atau faktor-faktor lain yang membuat pelabur ragu-ragu untuk membeli atau menjual saham.
Dengan menganalisis dinamik bekalan dan permintaan dengan cara ini, pelabur dapat memahami sentimen pasaran dan membuat keputusan yang berinformasi mengenai membeli atau menjual saham, sejajar dengan prinsip-prinsip kaedah CANSLIM.
5. Leader or Laggard (Pemimpin atau Pelambat)
“Pemimpin atau Pelembap” (L) merujuk kepada sama ada saham itu adalah pemimpin pasaran atau pelembap pasaran.
Sebuah syarikat pemimpin pasaran adalah syarikat yang menunjukkan prestasi yang kuat berbanding dengan pesaingnya dan pasaran secara keseluruhan dan akan tampil pada tingkat teratas dalam industr manakala, syarikat pelembap pasaran adalah syarikat yang tampil di bawah prestasi secara keseluruhan dalam industri dan pasaran.
Maklumat ini membantu trader/pelabur memberi penekanan kepada syarikat-syarikat terkemuka dengan asas yang kukuh dan momentum positif.
Tidak ada formula khusus. Pelabur menganalisa pelbagai situasi prestasi seperti pertumbuhan pendapatan, pertumbuhan jualan, pulangan ekuiti, dan indikator-indikator fundamental lain, untuk menilai bagaimana syarikat itu berbanding dengan pesaingnya.
Adakah Shopify adalah pemimpin atau pelembap? Pelabur akan membandingkan metrik-metrik prestasi kewangan dan operasi Shopify dengan syarikat-syarikat lain dalam industri atau sektor yang sama.
Jika Shopify melebihi prestasi pesaingnya dari segi pertumbuhan pendapatan, margin keuntungan, bahagian pasaran, dan indikator-indikator utama lain, ia akan dianggap sebagai pemimpin pasaran. Sebaliknya, jika Shopify ketinggalan dari pesaingnya dalam bidang-bidang ini, ia akan dianggap sebagai pelembap pasaran.
Dengan menilai sama ada saham itu adalah pemimpin atau pelembap, pelabur boleh mendapat pandangan tentang kedudukan syarikat dalam pasaran.
6. Institutional Sponsorship (Janaan Daripada Institusi Berdana Besar)
“Sponsor Institusi” (I) merujuk kepada tahap sokongan dan pemilikan saham oleh pelabur institusi, seperti dana tadbir, dana pencen, dan syarikat pelaburan besar lain. Sokongan institusi yang tinggi dianggap sebagai isyarat positif kerana menunjukkan keyakinan pengurus dana profesional terhadap prospek pertumbuhan syarikat.
Tiada formula tertentu. Sebaliknya, pelabur akan melihat peratus saham syarikat yang dimiliki oleh pelabur institusi dan mengawasi perubahan dalam pemilikan institusi dari semasa ke semasa. Maklumat ini biasanya boleh ditemui dalam penyataan awam syarikat atau melalui sumber-sumber berita kewangan.
Mari kita ambil contoh Shopify.
Untuk menilai sponsor institusi bagi Shopify, jika anda mendapati bahawa 70% saham Shopify dimiliki oleh institusi, ini menunjukkan tahap sponsor institusi yang tinggi.
Pemilikan yang tinggi oleh pelabur institusi boleh dilihat secara positif oleh sesetengah pelabur, kerana ia mungkin bermakna prospek pertumbuhan syarikat itu menarik minat pelabur profesional.
Pelabur sering memandang sponsor institusi yang kukuh sebagai tanda keyakinan terhadap asas syarikat dan potensi pertumbuhan, sejajar dengan prinsip-prinsip kaedah CANSLIM. Boleh boleh?
7. Market Direction (Arah Pasaran)
“Arah Pasar” (M) merujuk kepada trend keseluruhan pasaran saham. M mencadangkan bahawa lebih baik melabur dalam saham ketika pasaran keseluruhan menunjukkan trend naik dan kurang baik ketika pasaran menunjukkan trend menurun. Ideanya adalah untuk berada seiring dengan aliran semasa daripada bertentangan dengannya.
Tiada formula tertentu. Sebaliknya, pelabur dan pedagang runcit menggunakan teknikal analysis untuk menilai trend pasaran. Purata bergerak, garisan trend, dan corak carta adalah tools biasa yang digunakan untuk menentukan arah pasaran.
Biasanya, pelabur akan menganalisis indeks pasaran saham yang lebih besar seperti S&P 500 atau NASDAQ Composite. Jika indeks-indeks ini menunjukkan trend naik yang konsisten dalam tempoh tertentu, ia menunjukkan arah pasaran yang positif. Sebaliknya, jika indeks-indeks ini menurun secara konsisten, itu menandakan arah pasaran yang negatif.
Selain itu, pelabur menggunakan purata gerakan berjangka pendek MA50 dan dan berjangka panjang MA200. Jika MA 50 berada di atas MA 200, ini dianggap sebagai isyarat bullish yang menunjukkan arah pasaran yang positif.
Penting untuk diingat bahawa analisis arah pasaran adalah kompleks dan melibatkan pelbagai faktor. Pelabur sebaiknya menggunakan beberapa petunjuk dan mendapatkan pandangan daripada pakar kewangan sebelum membuat keputusan pelaburan berdasarkan arah pasaran.
Kesimpulan
Tahniah kerana sudah sampai di sini. Post kali ini agak panjang. Namun, masih ada kekurangan.
Jika hendak fahami CANSLIM dengan lebih detailed, saya sarankan dapat buku William J O’Neil untuk mendapatkan gambaran atau konteks yang lebih kaya. Supaya dapat menilai dan memilih saham yang mungkin menghasilkan pulangan yang baik berdasarkan analisis fundamental dan teknikal.
Lama-lama, menjadi “hanya jauhari mengenal manikam“. Sama-sama kita!
“Repetition is how you learn any new skill – and investing successfully is a skill you can learn if you have the burning desire to work at it until you succeed.” – William J. O’Neil
— William O’Neil + Co. (@williamoneilco) August 15, 2023